Kebanyakan orang mengenali riba hanya sebagai bunga (interest). Sedangkan realitinya riba adalah lebih kompleks. Silap faham ini bukan sahaja kerana silap kiraan, tetapi hasil dari pembelajaran dan doktrin palsu yang membawa kepada kejatuhan kuasa politik ummah yakni Khilafah Islamiah dan proses Islamisasi atas nama pembaharuan yang datang berikutnya. Riba dari segi bahasa bermaksud “lebihan” dalam bahasa Arab. Qadi Abu Bakr ibn al-Arabi, di dalam Tafsir “Ahkamul Qur’an” mendefinasikan riba sebagai: “setiap lebihan antara nilai barang yang diberi dan nilai yang diterima.” Terdapat dua klasifikasi Riba di dalam masyarakat iaitu Riba Buyu' (Riba dalam Jual Beli) dan Riba Duyun (Riba dalam Hutang). Riba Duyun dipecahkan kepada dua jenis iaitu Riba Qardh dan Riba Jahiliyyah.
Dalam konteks pinjaman, Riba Qardh (lebihan) merupakan interest (bunga) yang dikenakan atas nilai asal jumlah pinjaman (pokok). Riba Jahiliyyah pula merujuk kepada caj atau lebihan bayaran yang dikenakan atas faktor berlakunya pertambahan dalam tempoh pinjaman (late interest). Memahami Riba Buyu' adalah lebih halus dan teliti. Ia berkisar kepada barangan-barangan Ribawi yang digunakan dalam medium pertukaran. Ini merujuk kepada pemilikan (‘Ayn) dan bukan pemilikan (Dayn) sebagai alat pembayaran (emas, perak dan makanan yang digunakan sebagai medium pertukaran). ‘Ayn merupakan barang bernilai yang nyata dan selalu dirujuk sebagai tunai (fizikal). Dayn adalah nota janji untuk membayar sesuatu hutang atau sesuatu barang dimana penghantaran atau pembayaran ditangguh. Menukar (safr) Dayn dengan ‘Ayn tidak dibenarkan. Menukar Dayn dengan Dayn juga dilarang. Di dalam penukaran hanya ‘Ayn dengan 'Ayn diizinkan.
Di dalam konteks pertukaran 'Ayn dengan 'Ayn, sebagai contoh : Beras buatan Amerika Syarikat 1 kg tidak boleh ditukarkan dengan Beras buatan Malaysia 2 kg, ini adalah Riba Fadhl di dalam kategori Riba Buyu'. Sekiranya Beras 1kg ditukar dengan Dinar Emas, ianya juga bermakna 1 Dinar Emas buatan Negara Amerika Syarikat hanya boleh ditukar dengan 1 Dinar Emas buatan Negara Malaysia. Tidak boleh ada pertambahan dalam kuantiti/berat/nilai, sebarang pertambahan akan mewujudkan elemen Riba. Sekiranya wang kertas hendak dikategorikan sebagai 'Ayn, kenapa 1 Dolar USD tidak sama nilai pertukarannnya dengan 1 Ringgit Malaysia ?? Bukankah kedua-duanya merupakan elemen yang sama, dibuat daripada kertas dan disahkan nilai oleh pemerintah. Alasan yang menyatakan wang kertas adalah berbeza kerana masing-masing mempunyai nilai berbeza dari segi penawaran dan permintaan hanyalah hujah dangkal untuk menyembunyikan diri dari persoalan Riba. Kenapa di dalam persoalan menukar beras Jasmin 1 kg dengan beras Jati 2 kg, para cendekiawan Islam pantas menyatakan ianya Riba, bukankah kedua-duanya juga mempunyai perbezaan dari segi penawaran dan permintaan ??
Sebagaimana penerangan sebelum ini penukaran 'Ayn dengan Dayn adalah dilarang. Banyak catatan yang menerangkan isu ini. Sebagai contoh :-
Riwayat Imam Malik dalam Muwatta’ :-
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa ia mendengar tanda terima/resit (sukukun) diagihkan sesama penduduk pada masa Marwan ibn al-Hakam untuk urusan jual-beli barang di pasar al-Jar. Penduduk membeli dan menjual resit diantara mereka sebelum mereka mengambil barangnya. Zayd ibn Tsabit bersama seorang Sahabat Rasulullah s.a.w. pergi menghadap Marwan ibn al-Hakam dan berkata, "Marwan! Apakah engkau menghalalkan Riba?" Ia menjawab, "Naudzubillah! Apakah itu?" Ia berkata, "Resit-resit ini yang dipergunakan penduduk untuk berjual-beli sebelum menerima barangnya." Marwan kemudian mengirim penjaga untuk mengikuti mereka dan mengambilnya dari penduduk kemudian mengembalikannya pada pemilik asalnya. Zayd ibn Thabit secara khusus menyebut riba kepada resit (Dayn) dimana penduduk berjual beli sebelum menerima barang'.
Sekiranya anda memiliki resit/nota (Dayn), anda haruslah mengambil barang bernilai ('Ayn) yang dinyatakan pada resit/nota (Dayn) tersebut terlebih dahulu dan kemudian barulah anda dibenarkan untuk berjual-beli. Dayn tidak boleh digunakan sebagai matawang. Secara ringkasnya, hukum yang ternyata di sini ialah, anda tidak boleh menjual sesuatu yang ada pada masa tersebut dengan suatu yang tiada. Amalan ini dipanggil Rama’ dan ianya adalah RIBA. Rama’ adalah amalan biasa dalam pasar kita sekarang ini bilamana Dayn telah mengantikan ‘Ayn (dinar, dirham). Inilah yang dimaksud oleh Umar ibn al-Khattab apabila dia berkata saya bimbang Rama’ ke atas kamu. Bagaimana pula dengan wang kertas?? Berpandukan kepada riwayat di atas, sekiranya penggunaan resit/nota (Dayn) yang disandarkan kepada nilai barangan yang wujud, sebagai medium pertukaran juga sudah dianggap sebagai RIBA… apatah lagi yang tidak disandarkan kepada apa-apa barangan!!!
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Apabila riba dan zina sudah berleluasa di sesuatu tempat, maka mereka menghalalkan diri mereka untuk mendapat seksaan Allah.” (Riwayat al-Hakim dan Abu Ya’la). Berdasarkan hadis ini, sudah jelas kepincangan dalam masyarakat kita pada hari ini adalah antara lain berpunca daripada sikap kita yang telah meminggirkan sistem ekonomi yang diiktiraf oleh islam melalui penggunaan Dinar dan Dirham. Penggunaan Dinar dan Dirham yang mempunyai nilai tersendiri sebagai medium pertukaran telah digantikan dengan penggunaan wang kertas. Melalui sistem ekonomi kapitalis yang berteraskan kepada penggunaan wang kertas ini, pelbagai penindasan dilakukan sehingga membolehkan golongan yang kaya berterusan menambah kekayaan, manakala golongan yang miskin terus hidup menderita. Negara yang kaya dapat membeli sumber yang ada pada negara miskin dengan harga “murah” dengan alasan kononnya duit mereka mempunyai nilai tinggi, sedangkan faktor nilai matawang ditentukan oleh mereka sendiri.
Golongan miskin terpaksa berhijrah ke negara kaya dengan meninggalkan keluarga masing-masing semata-mata bagi mendapatkan wang kertas yang mempunyai nilai tinggi berkenaan dan sanggup melakukan pelbagai kerja asalkan dibayar. Keadaan ini seterusnya mewujudkan kembali aktiviti “penghambaan” yang telah berjaya ditangani melalui kedatangan Islam. Keluarga masing-masing terbiar apabila segenap isi masyarakat menumpukan keringat untuk mendapatkan wang kertas bagi menangani isu “inflasi” yang tidak pernah berlaku di dalam tamadun Islam sebelumnya. Manusia bebas melakukan aktiviti ekonomi tanpa mengambil kira faktor Syariat Islam sehinggakan pelbagai aktiviti yang berteraskan maksiat di”halal”kan demi untuk memenuhi poket masing-masing dengan wang kertas yang mana nilai mukanya tidak disandarkan kepada apa-apa barangan.
Hasil daripada amalan Riba yang berleluasa, pelbagai kerosakan berlaku di atas muka bumi. Manusia terus dibuai mimpi selesa dalam bergelut mencari sesuap nasi di dalam Ekonomi Kapitalis tanpa menyedari bahawa masing-masing telah menyumbang kepada berlakunya amalan yang jelas dimurkai Allah. Allah Subhaanahu Wa Ta’aala telah menyatakan hal ini di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah Ayat 11 & 12 :- “Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di atas muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami adalah orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”. Bagi mereka yang selama ini bergelut mencari rezeki HALAL dan puas menepis gelombang RIBA, ayat Al-Quran di atas merupakan suatu kesedihan, kerana mereka tanpa disedari telah menyumbang kepada berlakunya kerosakan di atas muka bumi ini !!
Dalam satu Hadis, Abu Hurairah r.a. telah berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah saw. bersabda:- "Akan tiba suatu zaman, dimana tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya". Perlakuan Riba oleh segenap lapisan masyarakat, merupakan jawapan kepada sebab berlakunya bencana alam yang seolah-olah tiada berkesudahan di akhir-akhir ini. Disebalik malapetaka yang berpanjangan ini, segenap masyarakat perlu sedar ada sesuatu yang telah disampaikan oleh Allah Subhaanahu Wa Ta’aala melalui firman-Nya di dalam Al-Quran, Surah Ar Ruum Ayat 41:- “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. Berdasarkan ayat ini adalah jelas bahawa segenap lapisan masyarakat perlu kembali ke landasan benar yang telah digariskan oleh Syariat Islam. Tinggalkan yang HARAM, InsyaALLAH pasti ada kejayaan !!
Read more...