Dinar Emas boleh digunakan untuk tujuan:
Membayar Zakat
Sejak dari awal turunnya perintah melaksanakan pembayaran zakat, pembayarannya dibuat menggunakan Dinar dan Dirham. Dalam hal ini telah diperjelaskan bahawa, bagi 20 Dinar yang cukup nisab, 1/2 Dinar merupakan zakat yang wajib dikeluarkan. Bagi 200 Dirham yang cukup nisab pula, zakat yang wajib dikeluarkan adalah sebanyak 5 Dirham. Pembayaran zakat tidak pernah menggunakan wang kertas sehinggalah kejatuhan kerajaan Uthmaniyah yang berpusat di Turki pada tahun 1924. Pembayaran zakat dengan menggunakan wang kertas dalam masyarakat dunia pada hari ini, merupakan satu bida'ah yang paling besar di dalam Agama Islam. Ini kerana zakat perlu dibayar menggunakan aset yang nyata, di dalam Bahasa Arab dipanggil 'A'yn'. Zakat tidak boleh dibayar dengan janji untuk membayar (atau hutang), di dalam bahasa Arab dipanggil 'Dayn'. Dinar dan Dirham adalah termasuk dalam kategori 'A'yn' kerana ianya mempunyai nilai atas kapasiti ia diperbuat daripada Emas dan Perak, manakala wang kertas pula termasuk di dalam kategori 'Dayn' kerana ia hanyalah sekeping kertas. Wang kertas dipanggil 'Fulus' kerana ia hanya mewakili medium pertukaran dan tidak mempunyai nilai sebagai barangan. Oleh yang demikian, adalah penting bagi umat Islam untuk beralih kepada Dinar dan Dirham sebagai medium pembayaran zakat.
Pada hari ini, mana-mana negara yang melaksanakan kaedah pembayaran zakat melalui Dinar dan Dirham sepatutnya telah menjadi kaya-raya disebabkan berlakunya susutan nilai atas matawang kertas. Institusi zakat akan dapat menyelamatkan umat islam daripada unsur-unsur penindasan yang wujud di dalam Ekonomi Kapitalis. Masyarakat akan dapat dididik mengenai pentingnya beralih kepada emas dan perak dalam konteks kehidupan seharian. Perihal kehebatan institusi zakat di era kegemilangan Agama Islam telah menceritakan segalanya tentang emas dan perak. Pada masa Khalifah Abu Bakar r.a dan Khalifah Umar r.a, Muaz bin Jabal ditugaskan untuk menjadi wali di Yaman. Abu Ubaid menuturkan bahwa Muaz pernah mengirimkan hasil zakat yang dipungutnya di Yaman kepada Khalifah Umar di Madinah, kerana Muaz tidak menjumpai orang yang berhak menerima zakat di Yaman. Namun, Khalifah Umar mengembalikannya. Muaz kemudiannya telah mengirimkan sepertiga hasil zakat itu, Khalifah Umar kembali menolaknya dan berkata, "Aku tidak mengutus mu sebagai pemungut cukai. Aku mengutus mu untuk memungut zakat dari orang-orang kaya di sana dan membahagikannya kepada golongan miskin dari kalangan mereka juga". Muaz menjawab, "Kalau aku menjumpai orang miskin di sana, tentu aku tidak akan mengirimkan apa pun kepada mu". ... Untuk tahun ketiga Muaz berkata "Saya tidak menemui seorang pun yang berhak menerima zakat". [Al-Amwal, hlm. 596]
Mengikut Islam, kategori orang yang layak menerima zakat ialah orang miskin. Jadi bila tidak ada orang yang layak menerima zakat ini bermakna mereka semua berada dalam keadaan ghina (kaya). Bukan sahaja di Yaman, malah wilayah Bahrain juga adalah contoh lain dari kejayaan penerapan sistem ekonomi Islam. Abu Hurairah telah menyerahkan 500 ribu dirham kepada Khalifah Umar yang diperolehnya dari hasil kharaj wilayah Bahrain pada tahun 20H/641M. Umar bertanya, "Apa yang engkau bawa ini?" Abu Hurairah menjawab, "Saya membawa 500 ribu dirham". Khalifah amat terkejut dan berkata lagi kepadanya, "Apakah engkau sedar tentang apa yang kau ucapkan? Mungkin engkau sedang mengantuk. Pergi, tidurlah hingga subuh." Ketika keesokan harinya Abu Hurairah kembali, maka Khalifah bertanya, "Berapa banyak wang yang engkau bawa?" Abu Hurairah menjawab, "Sebanyak 500 ribu dirham". Khalifah berkata, "Apakah itu harta yang sah?" Abu Hurairah menjawab, "Saya tidak tahu kecuali memang demikian adanya". 500 ribu dirham adalah hampir bersamaan dengan 50 ribu dinar. Jika diperhitungkan pada nilai semasa 1 dinar hari ini iaitu bersamaan RM640.00, keseluruhan zakat yang dibawa oleh Abu Hurairah adalah berjumlah RM32 juta. Dalam keadaan negara Bahrain yang belum mempunyai syarikat-syarikat konglomerat dan bangunan pencakar langit di waktu itu, zakat yang dipungut sudah pun bernilai RM32 juta !!
Ibnu Abdil Hakam meriwayatkan, Yahya bin Said, seorang petugas zakat pada masa itu telah berkata, "Saya pernah diutus Khalifah Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Setelah memungutnya, saya berniat untuk memberikannya kepada orang-orang miskin. Namun, saya tidak menjumpai seorang pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu kaya. Akhirnya, saya memutuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya." [Sirah Umar Abdul Aziz, ms 59]. Kemakmuran itu tidak hanya ada di Afrika, tetapi juga meluas ke seluruh penjuru wilayah Daulah Khilafah seperti Iraq dan Basrah. Abu Ubaid mengisahkan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengirim surat kepada Hamid bin Abdurrahman, wali Iraq, agar membayar semua gaji dan tanggungan lain di wilayah itu. Dalam surat balasannya, Abdul Hamid berkata, "Saya sudah membayarkan semua gaji dan tanggungan, namun, di Baitul Mal masih terdapat banyak wang." Khalifah Umar memerintahkan, "Carilah orang yang dililit hutang tetapi tidak boros. Berilah dia wang untuk membayar hutangnya. "Abdul Hamid membalas surat Khalifah Umar, "Saya sudah membayarkan hutang mereka, tetapi di Baitul Mal masih banyak wang." [Al-Amwal hlm. 256]
Kalau dahulunya, matawang Dinar dan Dirham di dalam sistem pemerintahan Khilafah telah memberikan kemakmuran ekonomi kepada Afrika, sekarang matawang kertas di dalam sistem Kapitalisme telah menganugerahkan hutang, kemiskinan, kebuluran dan pelbagai lagi penderitaan kepada benua yang dahulunya kaya-raya itu. Penggunaan Emas dan Perak sebagai matawang telah pun diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui Surah Ali-Imran Ayat 75 dan Surah Al-Kahfi ayat 19. Ianya juga merupakan satu Sunnah junjungan Agung kita Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai orang beriman apakah wajar bagi kita untuk memilih yang selain daripada keduanya. Di dalam khutbah terakhir, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku”.
No comments:
Post a Comment